Kerajaan cadang semak semula tempoh kontrak majistret baharu Mahkamah Bumiputera Sarawak

Posted on 24 Jun 2025
Source of News: https://www.utusanborneo.com.my/2025/05/26/kerajaan-cadang-semak-semula-tempoh-kontrak-majistret-baharu-mahkamah-bumiputera-sarawak

KUCHING: Kerajaan bercadang menyemak semula tempoh kontrak majistret baharu bagi Mahkamah Bumiputera Sarawak.

Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai berkata semak semula itu juga termasuk melanjutkan tempoh kontrak dengan opsyen pembaharuan berdasarkan prestasi perkhidmatan mereka.

“Cabaran utama dalam usaha pengambilan ini ialah tempoh kontrak yang singkat, iaitu hanya satu tahun yang ditawarkan kepada majistret ketika ini.

“Tempoh kontrak yang pendek ini sering disebut sebagai faktor penghalang oleh calon-calon berkelayakan, terutama mereka yang mempunyai kelulusan dalam bidang perundangan,” katanya dalam ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan DUN di sini, hari ini.

Beliau berkata pada masa ini di Mahkamah Bumiputera Sarawak mempunyai lima majistret di Mahkamah Bumiputera Daerah manakala seorang di majistret di Mahkamah Bumiputera Residen dan seorang presiden Mahkamah Rayuan Bumiputera.

Katanya pada akhir tahun lalu (2024), seramai lapan orang majistret tidak lagi berkhidmat di Mahkamah Bumiputera Sarawak kerana kontrak mereka tidak disambung atas faktor usia lanjut atau masalah kesihatan.

“Ketiadaan mereka telah memberi tekanan besar terhadap keupayaan mahkamah untuk menguruskan beban kes dengan berkesan serta mengekalkan tahap penyampaian perkhidmatan yang cekap.

“Buat masa ini, Pejabat Pendaftar Utama sedang bekerjasama rapat dengan Unit Pembangunan dan Pengurusan Sumber Manusia Negeri bagi mengenal pasti calon-calon yang sesuai untuk mengisi kekosongan jawatan majistret tersebut,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Sikie berkata bagi menghadapi pelbagai cabaran dihadapi oleh Mahkamah Anak Negeri Sarawak dalam menyampaikan keadilan secara cekap, beberapa inisiatif telah dilaksanakan bagi meningkatkan prestasi mahkamah dan mengurangkan kes tertunggak.

Katanya Pejabat Pendaftar telah menganjurkan siri Program Pemerkasaan Kapasiti yang merangkumi latihan, bengkel, seminar dan taklimat kepada Pegawai dan Pegawai Kanan Mahkamah Bumiputera sejak 2014.

Program berkenaan turut melibatkan Residen Bahagian dan Pegawai Daerah sebagai majistret ex-officio, kerani mahkamah, pembantu mahkamah, ketua kaum dan tuai rumah.

“Sepanjang tahun 2024, sebanyak tujuh Program Pemerkasaan Kapasiti telah dianjurkan di Wilayah Selatan, Tengah dan Utara, melibatkan 334 peserta yang terdiri daripada kerani mahkamah, pembantu mahkamah, ketua kaum dan tuai rumah.

“Objektif program ini adalah untuk membekalkan peserta dengan kesedaran, pengetahuan dan kecekapan dalam melaksanakan tugas kehakiman berdasarkan peruntukan Ordinan Mahkamah Bumiputera 1992 dan Peraturan Mahkamah Bumiputerai 1993.

Katanya sehingga Mei 2025, dua Program Pemerkasaan Kapasiti telah dilaksanakan di Wilayah Tengah dan Utara, melibatkan 129 ketua kaum dan tuai rumah yang baru dilantik.

Sementara itu ujar beliau, lima lagi program seumpama itu sedang dirancang untuk dilaksanakan sepanjang baki tahun ini.



Copyright 2022. 
All right reserved.


Last Updated On 29 Sep 2025

Operating Hours
Monday - Thursday
8:00am to 1:00pm & 2:00pm to 5:00pm

Friday
8:00am to 11:45am & 2:15pm to 5:00pm

Saturday, Sunday & Public Holiday
Counter closed

image Polls
image Announcement