KUCHING: Satu Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Bumiputera yang baharu akan dirangka dan dibentangkan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak yang akan datang.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat (gambar) berkata RUU itu akan merangkumi penstrukturan semula menyeluruh terhadap Mahkamah Bumiputera Sarawak, termasuk perubahan dalam struktur pentadbiran dan bidang kuasa mahkamah tersebut.
“Pindaan juga akan dibuat terhadap Ordinan Majlis Adat Istiadat Sarawak, 1977 sebagai sebahagian daripada usaha menyelaras sistem perundangan adat Bumiputera di negeri ini.
“Kajian penstrukturan dan penaiktarafan Mahkamah Bumiputera Sarawak yang dimulakan pada tahun 2020 telah siap pada Februari 2023,” katanya bagi menjawab pertanyaan dari John Ilus (GPS-Bukit Semuja) pada persidangan DUN di sini, hari ini.
Menurut Jefferson, Laporan Akhir Kajian tersebut telah dibentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Julai 2023, dan pada dasarnya telah diluluskan sebagai “Pelan Induk Transformasi Mahkamah Bumiputera Sarawak”.
Katanya, berdasarkan pelan induk tersebut, penstrukturan semula akan melibatkan pemansuhan Native Courts Ordinance, 1992 dan digantikan dengan satu ordinan baharu yang akan dikenali sebagai Ordinan Mahkamah Bumiputera.
“Penstrukturan ini juga akan memberi implikasi besar terhadap pengurusan kes mahkamah, di mana ia akan dikendalikan secara lebih profesional oleh Majistret dan Hakim yang bertauliah serta berkelayakan dalam bidang undang-undang, di empat peringkat mahkamah,” ujarnya.
Empat peringkat mahjamah berkenaan termasuk Mahkamah Bumiputera Majistret (Native Magistrates’ Court); Mahkamah Tinggi Bumiputera (Native High Court); Mahkamah Bumiputera Rayuan (Native Court of Appeal); dan Mahkamah Bumiputera Agung (Native Supreme Court).
“Langkah ini dijangka akan menyelaraskan pengurusan dan perbicaraan kes-kes Mahkamah Bumiputera dengan tahap profesionalisme yang setara dengan Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah,” tegasnya.
Jefferson menjelaskan bahawa transformasi itu juga akan menyentuh struktur organisasi Pejabat Ketua Pendaftar, termasuk aspek pengoperasian dan keperluan sumber manusia.
Cadangan penstrukturan ini akan menetapkan dua peringkat Mahkamah Bumiputera, iaitu Mahkamah Rendah Bumiputera dan Mahkamah Tinggi Bumiputera.
“Dari segi pentadbiran, Mahkamah yang baharu ini akan berpusat di Ibu Pejabat di Kuching, dengan tiga Pusat Wilayah di Samarahan, Sibu dan Miri.
“Transformasi ini menandakan langkah penting dalam usaha memperkasakan sistem keadilan adat Bumiputera di Sarawak,” kata beliau.